Friday 2 November 2012

Perkembangan Kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia pada Masa Kini

Kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia melalui beberapa peringkat perkembangan yang pastinya sentiasa menerima tamparan dan bual bicara daripada pelbagai pihak. Di Malaysia, bahasa Melayu atau juga dikenali sebagai bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan yang mengikuti piawaian yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Perkara ini dapat dibuktikan lagi melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, jelas menyebut bahawa: "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu”. Namun, Bahasa Melayu juga telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak tahun 1957 dan seterusnya menjadi asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia yang merdeka.
Namun, selepas lebih dari 50 tahun negara menyambut kemerdekaan, penggunaan bahasa kebangsaan masih menjadi isu dan perdebatan yang tidak berkesudahan. Paling menyedihkan apabila ada kajian menunjukkan terdapat generasi muda dari kaum Cina yang tidak tahu berbahasa Melayu. Malah lebih banyak jawatan yang di antaranya memerlukan kefasihan dalam bahasa Cina dan Inggeris berbanding bahasa Melayu dalam sektor swasta.
Dari segi undang-undang Malaysia, bahasa Melayu diperkukuhkan lagi melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang menetapkan bahasa itu sebagai bahasa rasmi tunggal. Pindaan dalam Akta Perlembagaan 1971 pula menetapkan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipersoalkan. Mereka yang berbuat demikian boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1984. Bahasa rasmi negara itu juga tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Akta Pendidikan menetapkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam semua sistem pendidikan negara baik di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi.
Pengecualian penggunaan bahasa Melayu di institusi pendidikan yang bahasa pengantar utamanya bukan bahasa kebangsaan pula disebut di bawah Seksyen 17(2). Namun, bahasa Melayu hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib. Bahasa kebangsaan juga telah menjadi bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran awam serta majlis-majlis rasmi kerajaan. Ia turut digunakan secara rasmi di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri. Hanya di peringkat mahkamah, penggunaan bahasa Melayu tidak dimartabatkan sepenuhnya lagi. Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 (Akta 32) menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang terpakai dalam segala prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah di Malaysia adalah dengan bersyarat, iaitu Mahkamah boleh memerintah supaya prosiding itu dijalankan sebahagiannya dalam Bahasa Melayu dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.
Di Malaysia juga mempunyai badan perancangan bahasa, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak ditubuhkan pada 1956, DBP memainkan peranan penting terhadap kemajuan dan pembangunan bahasa kebangsaan sehingga kini. Demikian juga peranan penulis dan sasterawan Melayu. Sejak sebelum merdeka lagi pelbagai persatuan penulis dan sastera di negara ini gigih memperjuangkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Perkara tersebut berlanjutan sehingga kini namun caranya sedikit berbeza.


Malahan, peranan akhbar juga mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu di Malaysia. Memang diakui kewujudan akhbar-akhbar Melayu sebelum merdeka turut menyemarakkan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyaluran maklumat yang berkesan di Malaysia. Walau bagaimanapun kini di Malaysia, telah munculnya pelbagai akhbar berbahasa Melayu seperti akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro dan lain-lain lagi. Namun ia kurang mendapat sambutan daripada ahli korporat untuk mengiklankan jawatan professional dan peluang pekerjaan serta iklan-iklan perniagaan walaupun pembaca akhbar-akhbar tersebut di Malaysia adalah paling ramai. Berbeza dengan akhbar bahasa asing di Malaysia seperti The Star, New Straits Times, The Sun dan Nanyang Siang Pau, ia dilihat walaupun jumlah pembaca tidak seramai pembaca bagi akhbar berbahasa Melayu tetapi pengiklanan jawatan professional dan peluang pekerjaan serta iklan-iklan perniagaan dilihat lebih banyak dan jauh melimpah ruah berbanding akhbar berbahasa Melayu.

Martabat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di negara ini telah direndahkan ekoran salah tanggapan penuturnya. Wujudnya 'trend' penggunaan bahasa yang seolah-olah berasaskan 'stratifikasi sosial' di mana bahasa Melayu dianggap hanya seolah-olah digunakan oleh kelompok berpendidikan rendah dan rakyat biasa, manakala kelompok atasan, elit, profesional, komuniti korporat dan mereka yang berpendidikan tinggi dari luar negara lebih mesra menggunakan bahasa Inggeris. Demikian juga kebanyakan ahli politik Malaysia lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris atau 'bahasa campuran' termasuk ketika diwawancara media tempatan, majlis rapat rakyat, persidangan dan sebagainya. Namun yang menyedihkan hati apabila rata-rata orang yang menghadiri wawancara atau majlis tersebut adalah orang Malaysia tidak kira berbangsa apa sekalipun, sepatutnya pemimpin Malaysia apabila berbicara bersama rakyat seharusnya menggunakan bahasa Melayu kerana ia bahasa kebangsaan yang sepatutnya semua rakyat wajar menerimanya dengan baik.
Kewajaran menguasai bahasa Inggeris memang tidak boleh disangkal kerana bahasa Inggeris adalah medium terbaik yang diperlukan untuk menghubungi dunia luar. Malah, wajar sekali rakyat digalakkan menguasai bahasa lain seperti bahasa Jepun, Korea, Mandarin dan Arab. Namun, elemen patriotisme terhadap bahasa kebangsaan sebagai 'Bahasa Jiwa Bangsa' dan ‘Cintailah Bahasa Kita’ perlu diterapkan dalam setiap sanubari rakyat Malaysia.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris bagi menamakan taman perumahan, khususnya di sekitar bandar utama. Tindakan mereka jelas tidak membantu dalam memartabatkan bahasa Melayu, sebaliknya membuktikan minda serta tindak tanduk mereka masih terjajah walaupun negara ini sudah lebih 55 tahun mencapai kemerdekaan. Isu ini bukan baru malah teguran dan peringatan seumpama itu sering dibuat, malangnya mereka seolah-olah tidak langsung mempedulikannya, jauh sekali mahu merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum mendapatkan lesen iklan daripada PBT. Sikap mereka terhadap pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa utama amat mendukacitakan.
Di Malaysia, penggunaan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris dalam pengiklanan dilihat lebih diutamakan berbanding penggunaan bahasa Melayu sebagai medium bahasa pengiklanan utama. Walaupun undang-undang telah ada namun penguatkuasaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang utama seperti pendidikan, perniagaan, pengiklanan dan komunikasi masih banyak tidak diendahkan dan kurang diutamakan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.
Terdapat juga usaha kerajaan Malaysia untuk membudaya kembali penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, antaranya pada tahun 2009, kerajaan memperkenalkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dengan matlamat memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia. Menurut portal rasmi DBP, BKK adalah lanjutan kepada kempen bahasa terdahulu. Ia bermula dengan panggilan Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Ia kemudiannya dikenali pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK, 1987-1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS,1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998). Pada 1999 ia dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dan kini dikenali sebagai BBK.
Dalam bidang pendidikan pula, isu kedudukan bahasa Melayu di Malaysia paling hangat mendapat liputan dan buah mulut oleh pelbagai pihak bermula dari dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dimana melalui dasar ini, kabinet Malaysia telah menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan, dengan memulakan langkah perintisnya untuk diajar kepada pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun persekolahan 2003; namun dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003. Banyak forum, desakan dan demonstrasi telah berlangsung dengan objektif untuk memastikan dasar PPSMI dimansuhkan secepat mungkin dan mengembalikan hak-hak istimewa bahasa Melayu yang semakin nazak di Malaysia.
Akhirnya kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk memansuhkan sepenuhnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2016 bagi sekolah rendah dan 2021 bagi sekolah menengah kerana pelaksanaannya telah terbukti gagal mencapai sasaran yang diinginkan. Maka dasar tersebut diganti dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman, Pengarah Institut Hadhari UKM menyifatkan sebagai seorang saintis beliau amat yakin bidang sains dan teknologi perlu di ajar dalam bahasa kebangsaan. Oleh itu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa bagi bidang sains dan teknologi hanya akan membawa padah dan ia akan membuat kesilapan yang sama yang telah dibuat oleh Barat. Sains di Barat tidak mempunyai ruang untuk agama atau kerohanian manakala Islam tidak mengekang perkembangan bidang sains malah telah membantu dalam banyak situasi.
Menurut Prof Dr Awang Sariyan pula yang juga tokoh bahasa dan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing, di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dilihat hanya merupakan satu-satunya IPT di Malaysia yang telus dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan pembelajaran dalam kebanyakan kursus pengajian yang ditawarkan dalam pelbagai bidang. Ia dapat dibuktikan sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun kebanyakannya ditulis dalam bahasa Melayu, sebagai bukti kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi.
Manakala dalam Akta Pendidikan 1996, jelas menunjukkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) juga masih tetap tertakluk kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Namun kini di Malaysia IPTS dilihat lebih cenderung sepenuhnya mengajar pengajian ilmiah dalam bahasa Inggeris dan menidakkan hak bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah dengan begitu jelas sekali. Ketetapan mengajarkan tiga mata kuliah teras di IPTS, iaitu subjek Bahasa Kebangsaan, Kenegaraan Malaysia dan Pengajian Islam atau Pendidikan Moral tampaknya menjadi dokumen tersurat sahaja kerana kebanyakan IPTS mengabaikan ketetapan itu, kecuali sesetengah IPTS seperti Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Petronas.
Dalam pelbagai usaha yang dibangunkan untuk mengangkat bahasa Melayu supaya kembali memainkan peranan utamanya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, masih terdapat juga pelbagai lekak lekuk dan ketandusan yang berlaku di Malaysia kerana usaha pemartabatan bahasa Melayu tidak menyeluruh malah hanya tertumpu pada sesuatu bidang atau landasan tertentu. Kekhuatiran terhadap bahasa Melayu di Malaysia jelas mendapat kebimbangan besar dari pakar, pejuang dan pencinta bahasa Melayu menerusi pelbagai ketetapan yang dimeterai sepanjang sidang Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu sehingga tahun 2011.

No comments:

Post a Comment